Sumbangan dan Pengiktirafan سومبڠن دان ڤڠيعترافن Tuanku Ja’afar

Selama 42 tahun memerintah Negeri Sembilan, pelbagai kemajuan dapat dinikmati rakyat terutamanya dengan wawasan dan kredibiliti baginda yang berpengalaman luas dalam pendidikan dan pentadbiran. Dalam menangani hal ehwal sosio-ekonomi negeri, baginda mengarahkan perhatiannya kepada sektor industri dan perumahan awam supaya dapat meningkatkan mutu hidup rakyat. Kesannya, beberapa kawasan perumahan telah dibangunkan antaranya ialah Taman Tuanku Ja’afar yang merangkumi kawasan perindustrian dan padang golf, Taman Tuanku Ampuan Najihah di Sungai Gadut dan projek perumahan Mambau.

Baginda dianugerahkan Doktor Kehormat Undang-Undang oleh beberapa buah universiti seperti Universiti Filipina (27 Julai 1990), Universiti Nottingham (21 Julai 1995), Universiti Santiago, Chile (28 September 1995) dan Universiti Brunei Darussalam (11 September 1996).

Sebagai peminat golf, Tuanku Ja’afar merupakan pengikut setia sukan ini dan sering menyertai kejohanan golf dalam dan luar negara. Baginda turut menaik taraf padang golf dan kemudahannya terutama di Kelab Golf Antarabangsa Seremban. Tuanku Ja’afar turut menyertai Golf Pro-Amatur Terbuka Malaysia sejak kali pertama diadakan.